Tips Memperbaiki Rumahtangga

 

“Dan diantara tanda-tanda kebesaran Allah ialah Dia menciptakan dari diri kamu berpasang-pasangan supaya kamu merasa tenang bersamanya; dan Dia jadikan sesama kamu perasaan kasih sayang dan rahmat; sesungguhnya yang demikian itu menjadi tanda-tanda bagi orang yang berfikir” ( Ar-Ruum : 21 )

 

1) Membetulkan akhlak yang tidak elok di kalangan ahli keluarga. Maksud hadith dari Aisyah r.a :

“Apabila berlaku pendustaan di kalangan ahli keluarga Nabi saw, maka baginda tidak akan berhenti dari menghalangnya sehinggalah ia bertaubat”

 

2) Melarang rakan-rakan yang bukan mahram memasuki ke dalam rumah ketika ketiadaan suami. Ini kerana boleh membawa fitnah, khalwat dan godaan syaitan. Maksud sabda Nabi saw:

“Tidak duduk lelaki dan perempuan berdua-duaan kecuali orang ketiganya adalah syaitan”.

 

3) Tidak membenarkan orang-orang yang tidak berpegang dengan agamanya dan berperangai jahat memasuki rumah. Nabi pernah bersabda dalam khutbahnya pada hari haji akbar:

“Adapun hak kamu ke atas isteri kamu ialah tidak mengizinkan orang yang kamu benci dari memasuki rumah kamu.”

 

4) Kasih sayang sesama ahli keluarga. Maksud hadith Nabi saw:

“Apabila Allah menghendaki sesebuah keluarga itu mendapat kebaikan, ia akan memasukkan ke dalam rumah itu kasih sayang”

 

5) Berlemah lembut dan bergurau senda sesama keluarga. Nabi saw berkata kepada Jabir r.a; maksudnya:

“Kenapa engkau tidak memilih anak dara; supaya engkau bergurau dengannya dan dia bergurau denganmu”

 

6) Bertegas dalam menentukan waktu tidur dan waktu menunaikan kewajiban yang lain. Jangan jadikan rumah seperti hotel di mana penginapnya tidak memperdulikan orang lain. Anak-anak makan dan tidur mengikut kehendak hati sehingga terjadinya persiaan waktu dan berjaga malam.

 

7) Jauhi rumah dari sebarang ukiran seperti patung-patung kecuali mainan kanak-kanak. Maksud hadith Nabi saw:

“Malaikat Rahmat tidak memasuki rumah yang terdapat anjing dan patung-patung ukiran”

 

8) Teliti dalam memilih rumah. Ini memberi kesan terhadap ahli keluarga seperti berhampiran dengan masjid atau surau, melihat jiran yang baik, tiada ajaran yang songsang di kawasan itu dan sebagainya.

  

9) Melarang ahli keluarga dari merokok apatah lagi unsur-unsur lain seperti dadah dan sebagainya. Maksud ayat Al-Quran:

“Janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke arah kecelakaan.”

 

10) Pisahkan antara lelaki dan wanita ketika melakukan ziarah ke rumah orang. Ini kerana Islam melarang dari berlakunya percampuran dan pergaulan bebas.