|
Tips Menghargai Pasangan
Tips-tips berikut adalah untuk pasangan
suami isteri yang telah sah dinikahkan. Namun begitu, ianya juga sesuai
bagi pasangan yang belum mendirikan rumahtangga sebagai panduan apabila
mendirikan rumahtangga kelak.
1.
Isteri adalah manusia
Mereka adalah kaum wanita yang penuh dengan perasaan emosi. Apabila
mereka redha dan bahagia dengan setiap perkara yang mereka lakukan, maka
perasaan mereka tenang dan gembira. Namun jika mereka tertekan dengan
apa yang berlaku, maka emosi mereka mulai berkecamuk dan sering ingin
mencari jalan keluar daripada masalah yang mereka hadapi.
2.
Dengar pendapat isteri
Suami isteri perlu sering bertukar-tukar pendapat tidak kira taraf
pendidikan atau profesionalisme mereka. Isu-isu semasa boleh dijadikan
sebagai 'ice-breaking'. Kemudian, berbincanglah tentang hal rumahtangga
dan masa depan. Suami boleh bertanyakan pandangan isteri tentang problem
kerjanya. Malah isteri tentu berminat hendak mengetahui 'gosip' pejabat
selepas seharian berhempas pulas di rumah. Dari situ isteri dapat
mengenali karektor rakan-rakan pejabat suami secara tidak langsung.
3.
Beri pujian kepada isteri
Jangan lokek memberi pujian kepada isteri dengan mengatakan dia cantik
dan kemas. Pujian ini penting untuk menaikkan semangat isteri tatkala
semangatnya hilang dan luntur. Memanglah wajar isteri penat jika dia
terpaksa bangun pagi seawal lima pagi bagi memastikan semuanya beres
demi kemudahan suami dan anak-anak. Kemudian tidur pula paling lewat
kerana sibuk menyediakan persiapan untuk esok hari.
4. Menganggap pasangan seperti diri
sendiri
Menganggap pasangan sebagai diri sendiri yang harus dihargai, dibelai,
dihormati, disayangi dan dikasihi. Semua orang suka dibelai dan dikasihi
lebih-lebih lagi pasangan suami dan isteri. Mengapa selepas berkahwin
cinta tidak sehangat sewaktu bercinta. Inilah yang sering diabaikan oleh
kebanyakan pasangan. Sedangkan pasangan anda adalah cerminan diri anda
sendiri. Kemana jua anda pergi potret wajahnya perlu anda bawa bersama.
Jika ini diamalkan selalu, rumahtangga akan menjadi bahagia.
5. Ingat tarikh penting
Manusia memang suka dihargai dan dikejutkan dengan pemberian hadiah oleh
sesiapa sahaja apatah lagi daripada orang yang disayangi. Jika suami
seorang yang prihatin dan menyayangi isterinya, apalah salahnya jika dia
memberikan hadiah kepada isterinya. Hadiah tidak perlu terlalu mahal.
Cukup sekadar seutas jam ataupun sehelai tudung sempena meraikan hari
lahir . Jika 'budget' anda tidak mencukupi, sekuntum bunga dan sekeping
kad sudah memadai. Hati isteri akan tersentuh dengan pemberian hadiah
dan lebih terharu jika anda sempat menulis sepatah dua kata penghargaan
di dalamnya seperti "Terima kasih di atas segala pengorbanan sayang
selama ini".
6.
Penuhi hajat isteri
Bukan semua hajat isteri boleh dipenuhi oleh suami. Jika isteri
berhajatkan sebuah mesin basuh ataupun mesih jahit, pihak suami mungkin
terpaksa berfikir dua atau tiga kali sebelum memenuhinya. Bagaimanapun,
jika anda tidak berjaya memenuhi hajat isteri untuk masa yang terdekat,
simpanlah hajat isteri anda itu dan tunaikanlah apabila anda berpeluang
kelak. Bukankah pemberian itu melambangkan bahawa anda adalah suami yang
amat menghargai pengorbanan isteri.
7. Bantu ringankan tugas isteri
Suami perlu turun padang membantu isteri, jika setiap hari isteri anda
bertungkus lumus memasak, membasuh dan mengemas rumah. Maka suamipun
perlu membantu. Jika anda tidak mahir memasak makanan yang berat seperti
lauk pauk cukup sekadar menggoreng ikan atau telur. Cuba perhatikan
isteri anda yang sedang menikmati makanan yang anda masak. Tentu dia
berasa gembira dan tersenyum.
8. Isteri bukan pembantu rumah
Kebanyakan suami menganggap bahawa kerja-kerja rumah adalah
tanggungjawab isteri seratus peratus. Walhal dalam Islam sendiri tidak
ada hukum yang mengatakan bahawa isteri wajib melakukan kerja-kerja
rumah. Cuma, ajaran Islam mengatakan bahawa wanita berkahwin yang taat
dengan suami dan Tuhan, menjaga harta dan maruah suami dengan sebaik
akan dijamin masuk syurga. Itu sahaja. Atas jaminan inilah ramai wanita
tidak berkira dengan kerja-kerja rumah yang mereka lakukan selama ini.
9. Bawa isteri berehat
Kebanyakan suami menganggap berjauhan daripada isteri adalah suatu
kebebasan baginya. Kerana isteri tidak dapat menghidu apakah yang
dilakukan di belakangnya. Kini, anda cuba terbalikkan situasi ini.
Sentiasa bawa isteri berjalan-jalan dan berehat di tempat-tempat
peranginan yang menarik seperti Genting Highlands ataupun Fraser Hills.
Walaupun ia nampak remeh, tetapi setiap isteri pasti akan menghargai
saat-saat manis sewaktu berehat di situ.
10. Ciuman khas untuk isteri
Cuba anda tanya diri sendiri bilakah kali terakhir anda mencium dahi
isteri anda ketika dia berehat setelah begitu penat bekerja. Tahukah
anda ciuman anda di dahi atau kucupan di bibirnya dapat menghilangkan
segala kepenatan dan tekanan pada dirinya hari itu. Begitulah kuatnya
kuasa ciuman suami kepada isteri.
|