

|
Bentuk Peribadi Anak Mengikut
pendapat Islam, anak wajar didedahkan dengan latihan menulis, membaca,
mengira dan berbahasa pada peringkat usia lima hingga tujuh tahun.
Pendidikan yang sesuai didedahkan pada peringkat ini ialah
perkara-perkara mengenai ibadah dan akhlak. Contohnya, kanak-kanak yang
baru meningkat umur mumayyiz hendaklah dilatih mendirikan solat.
Kemudiannya, adab-adab yang mulia hendaklah mula diterapkan dalam bentuk
latihan amali seperti berikut: 1. Mengajar anak bercakap atau bergaul dengan baik. Anak
hendaklah dilatih bercakap benar, sopan santun dan mengucapkan perkataan
yang baik-baik. Kanak-kanak biasanya begitu sensitif dengan
pendengarannya, Mereka mudah terikut-ikut dengan apa yang didengarnya.
Sebab itu jika ibu bapa mahu menegur atau memarahi mereka, hendaklah
menggunakan bahasa yang paling sopan bukannya dengan bahasa kesat, kasar
dan keras. 2. Mengajar anak adab bergaul dengan rakan. Anak
perlu dinasihatkan supaya tidak berbangga atau meninggi diri di hadapan
rakan sebayanya, jangan sekali-kali menyakiti atau mengambil hak orang
lain. 3. Mengajar anak adab makan minum yang baik. Sifat
atau sikap yang tidak sopan seperti gelojoh ketika makan hendaklah
ditegah. Sebaliknya, anak dilatih dulu dengan adab makan seperti mencuci
tangan, duduk dengan sopan serta berdoa sebelum dan selepas makan. 4. Mengajar anak adab berpakaian. Pakaian
yang dipilih hendaklah menutup aurat dan bukan untuk menunjuk-nunjuk
kepada orang lain. 5.
Mengajar adab bangun daripada tidur termasuk membersihkan diri sebelum
dan selepas bangun daripada tidur serta doanya. 6. Mengajar anak adab masuk dan keluar tandas. Anak
perlu diajar cara membuang air kecil dan besar serta cara masuk ke dalam
tandas seperti membaca doa, menutup kepala dan membelakangkan kiblat. 7. Mendidik anak supaya taat dan beradab kepada ibu bapa. Timbulkan
kesedaran bahawa pengorbanan ibu bapa terhadap mereka amat besar. Mereka
perlu bersyukur kerana menjadi anak yang masih mempunyai ibu bapa.
Kesedaran ini dapat mengeratkan hubungan mesra, rasa kasih sayang antara
ahli keluarga. 8. Mengajar anak supaya taat dan beradab kepada guru dan
orang yang lebih tua daripadanya. Guru
adalah orang yang bertanggungjawab mendidik dan menyampaikan ilmu. Orang
yang lebih tua adalah mereka yang lebih berpengalaman dan
berpengetahuan.
Tips
Mendisiplinkan Anak-Anak Perihal
mendisplinkan anak-anak merupakan tanggungjawab yang agak berat untuk
dilaksanakan dengan sempurna oleh kedua ibu bapa. Lebih-lebih lagi jika
cara yang digunakan tidak kena atau kurang sesuai. Hal ini akan
menyebabkan anak cepat memberontak. Tentunya di kemudian hari, mereka
lebih sukar untuk dibentuk. Disiplin terhadap anak-anak perlu dipraktikkan sejak kecil, biarpun ketika masih di dalam kandungan. Hal ini kerana bayi boleh mendengar percakapan serta merasa sentuhan yang secara tidak langsung akan memberikan tindakbalas. Apa yang dimaksudkan dengan
‘disiplin’ adalah, ianya merupakan peraturan yang ditetapkan untuk
melatih seseorang supaya berkelakuan baik. Namun maksud peraturan yang
digunakan di sini, bersifat agak tegas dan ‘mesti’. Bagi kanak-kanak
yang melalui proses pembesaran, mereka tidak mahu terlalu terkongkong
dengan perkataan ‘jangan’.
|