|
Perkara asas yang perlu dititikberatkan dan dihindari oleh ibu bapa
dalam mendidik anak-anak.
Anak adalah anugerah daripada Allah S.W.T yang tidak ternilai dan juga
merupakan amanah yang telah diberikan oleh Allah kepada pasangan suami
isteri. Anak dikatakan aset paling penting kepada orang tua. Merekalah
yang bertanggungjawab dalam mencorakkan kehidupan anak itu sendiri.
Si kecil menghadapi tahap pemikiran dan tumbesaran secara
berperingkat-peringkat. Kelincahan si kecil mampu menambat hati orang
yang lebih dewasa daripadanya. Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa
perkembangan dan daya imaginasi anak-anak sebenarnya berpotensi
menyumbangkan sesuatu kepada negara kelak.
Berikut adalah perkara asas yang perlu dititikberatkan oleh ibu bapa
dalam mendidik anak-anak:-
1) Iman
Sifat keimanan adalah amat penting dan ianya perlu dipupuk oleh ibu bapa
terhadap anak-anak bagi mengukuhkan prinsip ketauhidan. Selain daripada
itu, ibu bapa haruslah memerhatikan kegiatan anak-anak dan memantau
dengan siapa anaknya berkawan. Jika tidak dipantau, anak-anak akan mudah
terpengaruh dengan percakapan dan perlakuan rakan-rakannya.
2) Spiritual
Semangat yang perlu ada pada seseorang baik dewasa atau si kecil ialah
berserah kepada Yang Maha Pencipta dengan penuh khusyuk, taqwa dan
ibadah.
3) Psikologi
Sejak kecil, anak-anak anda haruslah dihindarkan daripada perasaan malu,
takut, manja, ego dan pemarah yang keterlaluan. Sifat-sifat sedemikian
jika tidak dibendung dari kecil, ia akan terbawa-bawa hingga ke alam
dewasanya. Tentunya sikap sedemikian sukar untuk dibendung lagi apabila
ia telah menguasai diri.
4) Sosial
Dari segi sosial pula, anak-anak ini perlulah diajarkan cara bergaul dan
mencari teman berdasarkan batas-batas tertentu. Secara tidak langsung,
anak-anak ini diajarkan etika bersosial yang betul dan menghormati hak
orang lain.
5) Jasmani
Berikan latihan jasmani seperti berolahraga, menunggang kuda, memanah,
berenang dan lain-lain aktiviti, kerana aktiviti seumpama ini boleh
mengelakkan anak-anak anda daripada terjebak di dalam perkara yang boleh
merosakkan minda dan jiwanya
6) Moral
Dari segi moral pula, ibu bapa haruslah menerapkan sikap kejujuran
kepada si kecil. Setiap perkataan yang dikatakan oleh si kecil haruslah
dijaga dan diterapkan juga akhlak yang mulia.
7) Mental dan intelektual
Si kecil perlulah diajarkan ilmu fardhu ain dan kifayah bagi memantapkan
keimanan dan ketaqwaan anak itu sendiri. Dedahkan anak-anak anda kepada
sejarah dan tokoh-tokoh Islam kerana pendedahan sedemikian dapat
meningkatkan kualiti diri anak-anak tersebut daripada terjebak kepada
perkara-perkara yang boleh merosakkan fikiran mereka.
Berikut merupakan perkara atau cara yang perlu dihindari dalam mendidik
anak :-
1) Terlalu lemah
Ibubapa memenuhi hampir seluruh permintaan dan
tuntutan anak; anak tidak diajarkan mengenal hak dan kewajiban. Hasilnya,
anak terlalu menuntut, marah dan merungut bila tuntutan tidak dipenuhi
dan tidak memperhatikan kepentingan orang lain.
2) Terlalu menekan
Ibubapa mengatur dan mengarahkan aktiviti anak-anak tanpa
memperhatikan hak anak untuk mengajukan inisiatif atau untuk
mengembangkan minat dan aktiviti yang diinginkan anak. Hasilnya, anak
bekerja dengan berpandukan petunjuk orang lain, perlahan, senang
menunda-nunda pekerjaan, senang berkhayal, pelupa, senang melawan baik
secara aktif maupun pasif.
3) Kesempurnaan / Perfeksionis
Ibubapa menolak bila anak tidak menunjukkan kematangan sikap yang jauh
lebih tinggi dibanding taraf yang wajar sesuai tingkat perkembangan.
Hasilnya, anak terobsesi untuk mencapai prestasi intelektual dan sosial,
terlalu keras dan kritis pada diri sendiri, juga terobsesi pada
penampilan fizikal.
4) Tidak memberi perhatian
Ibubapa hanya menyediakan sedikit waktu untuk memperhatikan setiap
perkembangan anak dan membantu anak menempuh tahap demi tahap kehidupan.
Hasilnya, anak tidak mampu membangun hubungan yang hangat dan bererti
dengan orang lain, tidak pula boleh menikmati hubungan yang sihat. Boleh
juga tumbuh jadi orang yang impulsif, akibat tak dididik untuk mengawal
diri.
5) Terlalu memanjakan
Ibubapa terus-menerus menyirami anak dengan barang dan pelayanan
istimewa tanpa mempertimbangkan keperluan anak yang sebenarnya. Hasilnya,
anak jadi pembosan, kurang inisiatif, dan tak punya daya juang.
6) Tidak memberikan kepercayaan
Ibubapa seolah-olah mengagak kegagalan anak, kekurangan fizikal, dan
meramalkan keburukan pencapaian dan karakter anak. Hasilnya, anak
cenderung jadi pesimis dan mengembangkan sifat-sifat yang diejekkan
orangtua.
7) Menolak
Ibubapa tak menyambut anak dengan hangat, menolak anak dari anggota
keluarga yang lain. Hasilnya, anak memendam kemarahan, menunjukkan sikap
bermusuhan, dicemaskan perasaan rendah diri.
8) Senang menghukum
Ibubapa terlalu bersikap agresif terhadap anak, kerana menganggap
agresif sama dengan pendisiplinan. Atau, ibubapa kemungkinan datang dari
budaya keluarga yang menganggap menyakiti itu sebahagian dari metod yang
tepat untuk membesarkan anak. Hasilnya, anak seperti sengaja memancing
hukuman, memendam keinginan membalas dendam, dan rendah diri.
Cara penjagaan kanak-kanak berbeza dari masa ke semasa. Kalau dulu,
mungkin rotan lebih kerap digunakan untuk mendisiplinkan anak-anak sama
ada di rumah atau di sekolah. Sekarang, selalunya kanak-kanak berani
melawan. Jika diperlakukan dengan kasar, mereka akan memberontak dan
jadi lebih nakal.
Anak yang degil merupakan kanak-kanak bermasalah atau lebih tepat
membawa masalah. Namun, Dr Fazilah Kamsah mengajak kita menukar persepsi
terhadap anak-anak yang degil. Anak-anak yang susah mendengar kata
sebenarnya pintar kerana mereka memikirkan bahawa arahan ibu bapa tidak
betul. Mereka menggunakan akal, lantas tidak mentaati suruhan-suruhan
yang difikirkan tidak sesuai. Oleh kerana sering melawan, mereka digelar
nakal.
|