

|
Adab Perkahwinan
Adab Majlis Perkahwinan Melayu Di antara adat-adat yang berkait rapat dengan perkahwinan termasuklah aspek-aspek merisik, meminang, bertunang, penghantaran belanja, majllis bersanding seharusnya yang paling hebat peristiwanya. Mengikut adat silam, dari segi persediaan untuk perkahwinan terdapat adat-adat berkaitan dengan berandam, berasah gigi dan berinai. Kemuncak dalam adat resam perkahwinan keseluruhannya adalah majlis bersanding. Pada zaman dahulu, bersanding adalah satu aspek perjalanan hidup yang dijalankan oleh ibu bapa. Merekalah yang memilih teman hidup bagi anak masing-masing. Biasanya apabila ibu bapa merasai anak lelaki sudah sampai masa untuk berkahwin, mereka mula merisik untuk memilih gadis yang sesuai. Pada umumnya, ibu bapa meminta saudara mara mengesan dan mencari gadis sesuai dikahwinkan dengan anak lelaki mereka.
Adab Meminang
Apabila hati seorang teruna telah berkenan
pada seorang dara, biasanya dia akan menghantar wakil untuk merisik bagi
menentukan sama ada si dara telah berpunya atau belum. Kadang kala
semasa merisik, wakil teruna akan menyerahkan sebentuk cincin tanya.
Jika pihak dara bersetuju, mereka akan menetapkan tarikh untuk masuk
meminang dan seterusnya bertunang.
Namun kini, hanya adat masuk meminang
sahaja yang masih diamalkan. Pada zaman teknologi maklumat ini, biasanya
kedua-dua teruna dara telah berkenalan terlebih dahulu. Jadi adat
merisik khabar dirasakan tidak perlu lagi. Tambahan pula ini dapat
menjimatkan kos dan masa. Namun bagi sesetengah pasangan yang inginkan
cara yang lebih tertib dan menyeronokkan, mereka lebih gemar mengikut
adat.
Sesuatu yang perlu diingat apabila anda ingin mendirikan rumahtangga
ialah jangan sesekali membelakangkan ibu bapa. Mintalah pendapat dan
nasihat mereka kerana restu orang tua ada hikmatnya.
Hantaran
Hantaran tidak wujud di dalam Islam.
Lebih-lebih lagi barang yang digubah menjadi itik, angsa, burung dan
pelbagai bentuk binatang. Ini unsur-unsur syirik yang tidak sepatutnya
diamalkan oleh umat Islam. Sekiranya ingin memberi barang dengan niat
ikhlas kepada bakal isteri, seeloknya diserahkan lebih awal iaitu
sebelum dijalankan akad nikah. Tidak dengan beradat dulang apatah lagi
dulang emas atau perak yang dilarang Islam kerana bejana (barangan atau
perhiasan rumah) emas dan perak, haram umat Islam menggunakannya. Tambahan pula budaya hantaran hanya akan mendatangkan kesan yang buruk jika berlaku perselisihan faham. Sekiranya hantaran diberi sebelum bernikah andai pihak gadis memutuskan perhubungan adat menetapkan pihak lelaki boleh menuntut ganti rugi dua kali ganda hantaran yang diberikan kepada bakal isteri. Ini hanya akan membebankan keluarga gadis itu..
Peminangan & Pertunangan
Peminangan dari sudut Islam dilakukan
dengan tujuan untuk: Mengenali sifat lelaki yang baik seperti yang dinyatakan di dalam Riwayat At-Tarmizi dan An-Nassaei;
Untuk mengenali wanita yang salih seperti yang dinyatakan di dalam firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nisa' ayat 34;
Mencari isteri yang manis rupanya seperti dinyatakan Hadis Nabi di dalam Riwayat Ibnu Hibban menyatakan;
Untuk tidak melambat-lambatkan pernikahan sekiranya kedua pasangan sudah suka antara satu sama lain. Dinyatakan dalam Riwayat Al-Baihaqie;
Namun apa yang sering berlaku ketika proses peminangan; 1. Apabila lelaki datang meminang, maka yang ditanya ibu bapa perempuan ialah kerja, pendapatan, pangkat, kereta serta harta bendanya sehingga memperlihatkan bukan ciri-ciri lelaki terbaik yang dipilih sebaliknya kebendaan. 2. Bila diterima, akan ditetapkan belanja hantaran yang memberatkan dan menjadi kemegahan sekiranya hantaran mahal bersama serba satu pakaian dan perhiasan. Dibincangkan tempoh untuk melangsungkan pernikahan. Jarang menyegerakan pernikahan sebaliknya ditangguhkan sehingga dua atau tiga tahun. Kesannya memberi peluang pasangan bergaul bebas, meminta dibelikan pakaian, perbelanjaan dan sebagainya kerana pada anggapan mereka bertunang seolah-olah sudah menjadi hak tidak rasmi.
Pernikahan
Sebaik-baiknya biarlah majlis akad nikah
dilakukan di dalam masjid atau surau kerana tempat ini luas, terpelihara
daripada perhiasan-perhiasan gambar atau patung yang membawa kepada
unsur-unsur syirik. Selain daripada itu memudahkan lelaki untuk
melakukan solat sunat nikah dan sujud syukur setelah diakad nikah dan
mengelakkan percampuran antara lelaki dan perempuan.
Berbanding sekiranya majlis ini dijalankan
di rumah, percampuran lelaki dan perempuan sukar dikawal. Lebih-lebih
lagi jika rumah pengantin perempuan kecil dan sempit. Maka pada hari itu
tetamu perempuan dan pengiring pengantin lelaki akan duduk di tempat
majlis akad nikah itu dijalankan. Selain mengganggu pengantin lelaki,
sepatutnya wanita mesti berada di dalam bilik atau di tempat yang
diletakkan tirai atau sekatan supaya terlindung daripada kaum lelaki.
Amat mustahak calon isteri menyaksikan
upacara pernikahan iaitu bersama-sama mendengar doa, takliq dan
nasihat-nasihat kadi yang menikahkan. Manakala selepas upacara
pernikahan seeloknya diiringi dengan majlis-majlis keagamaan seperti
majlis khatam Al-Quran dan majlis berzanji bukan muzik, hiburan
pancaragam atau tari-menari. Serba Satu Putih Berdiri
Perkahwinan dalam adat istiadat Melayu
suatu upacara panjang lebar yang penuh dengan adat istiadat. Walau
sehari tidak ketemu dirasakan bagai setahun, namun adat diketepi jangan.
Untuk memiliki si jantung hati harus datang beradat. Setiap hasrat
disampaikan dalam jalur kesopanan. Bunga yang kembang mekar hendaklah
ditilik dirisik terlebih dahulu. Apabila sah belum disunting maka
bertandangkan rombongan merisik.
"Datang kami datang berhajat ingin memetik
bunga di taman." Maka disambut si tuan rumah," Kalau kena dengan cara
suntingan, kecil tapak tangan nyiru kami ditadahkan." Setelah pinangan
diterima menyusul adat hantar tanda. Ibarat pepatah orang tua-tua
"kerbau ditambat dengan tali, janji diikat dengan tanda." Justeru
wajarlah sebentuk cincin pengikat kata." Lantas dihulurkan sebutir
cincin belah rotan atau bertatah intan atau berlian.
Bagaimanapun sebelum itu dirundingkan
segala hal-hal bersangkut-paut dengan hantaran; berapa mas kahwin yanng
dikehendaki? Berapa belanja hangus. Apakah barang-barang yang
dikehendaki waris si dara? Adakah hantaran ini mahu dibawa pada hari
pertunangan atau langsung atau sebahagian pada hari bertunang dan
bakinya pada hari pernikahan? Semuanya harus diputuskan sebelum
menjelang hari pertunangan.
Membuka tabir budi bicara, berkatalah
wakil pihak perempuan. "Hidup dikandung adat maka seperti yang kebiasaan
begitulah kehendak kami. Tetapi besarlah hati kami jika selain dari
sepersalinan dapat kiranya serba satu putih berdiri." Indah, halus dan
penuh beralas. Hidup menjunjung adat bangsa Melayu kaya dengan kiasan.
Permintaan diungkapkan dalam kata-kata indah dan manis, tidak kurang
yang berpantun.
Perkahwinan dari segi perspektif Islam secara ringkas
Sesungguhnya, agama Islam menggalakkan
setiap insan yang sempurna dan berkemampuan untuk mendirikan rumahtangga
demi menjaga keharmonian masyarakat. Perkahwinan dapat memelihara
seseorang daripada zina. Perkahwinan juga dapat menambah umat dan
memelihara nasab keturunan. Ia telah menjadi sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Islam telah menggariskan sekitar empat ciri utama pemilihan bakal isteri dan suami : 1. Pertama carilah yang cantik rupa parasnya. 2. Kedua, carilah yang mempunyai harta. 3. Ketiga carilah yang baik keturunannya 4. Keempat, carilah yang beriman.
Di antara keempat-empat ciri ini, yang
beriman perlu diutamakan.
Kebiasaannya, setiap lelaki dan perempuan
akan tertarik kepada rupa paras sebelum memikirkan hal-hal lain. Inilah
lumrah semula jadi manusia. Bagi pihak orang tua pula, mereka kerap kali
memikirkan tentang asal usul dan kewangan bakal menantu. Jarang sekali
soal iman dititikberatkan.
Sesungguhnya anjuran Islam ada
fadhilatnya. Rupa paras dan harta benda tidak kekal lama. Tetapi iman
yang dipupuk dalam hati nurani mampu bertahan walaupun jasad telah
dimamah usia. Orang yang beriman lebih tulus hatinya, lebih kuat
sabarnya dan lebih mulia tingkah lakunya.
Secara umumnya, sebelum pasangan teruna
dan dara bernikah, segalanya dipandang manis. Kelakuan yang tidak baik
biasanya dipendam sedalam-dalamnya. Si teruna tidak mengetahui keburukan
si dara dan sebaliknya. Semuanya nampak cantik kerana adanya orang
ketiga yang sentiasa di samping iaitu syaitan. Tetapi setelah bernikah,
apabila syaitan menjauhkan diri, mereka mula nampak tingkah laku sebenar
masing-masing. Maka pada ketika ini, bermacam-macam masalah mula timbul.
Itu tak kena, ini tak kena. Akhirnya mahligai bahagia menjadi neraka.
Namun begitu, bagi orang yang beriman, segala kerenah dihadapi dengan
sabar. Di sinilah kelebihan iman. Sebab itu, Islam menggalakkan anda
memilih pasangan yang beriman sebagai kriteria utama pemilihan pasangan
hidup agar mahligai bahagia kekal sentosa selamanya.
Prosedur Perkahwinan
1. Kursus Perkahwinan - Ada dua jenis
kursus perkahwinan iaitu kursus yang dikendalikan oleh Jabatan Agama dan
kursus oleh pihak swasta. Walaupun kedua-dua kursus ini hampir serupa
tetapi anda dinasihatkan supaya mengambil kursus yang dikendalikan oleh
Jabatan Agama kerana ia mungkin memudahkan langkah seterusnya. Bakal
pengantin yang mengambil kursus swasta mungkin ditemu duga oleh Jabatan
Agama ketika membuat permohonan berkahwin. Anda dinasihatkan pergi
berkursus bersama-sama pasangan anda agar segala maklumat dan ilmu dapat
dimengerti bersama. Apabila selesai berkursus yang biasanya mengambil
masa dua hari, anda akan menerima Sijil Tamat Kursus yang boleh diambil
di Jabatan Agama. Sijil ini sah sampai bila-bila.
2. Setelah menerima sijil, anda bolehlah
mengisi borang permohonan berkahwin yang boleh didapati dari pejabat
Jabatan Agama daerah anda mengikut kad pengenalan. Isikan lengkap dan
sertakan bersama surat akuan bujang yang dimateri dengan cap syarikat
tempat anda bekerja. Kemudian dapatkan tandatangan jurunikah atau wakil
jurunikah atau ketua kariah tempat anda. Bawa bersama dua orang saksi
semasa anda mendapatkan tandatangannya.
3. Serahkan borang yang telah lengkap
kepada bakal pengantin perempuan. Pengantin perempuan juga perlu mengisi
borang permohonan bernikah. Mereka hendaklah memohon di Jabatan Agama
mengikut alamat dalam kad pengenalan. Selain dilampirkan dengan surat
akuan bujang dan borang permohonan pengantin lelaki, pengantin perempuan
perlu membawa bersama wali dan dua orang saksi ke pejabat Jabatan Agama
ketika menyerahkan borang yang lengkap diisi. Bagi pengantin yang akan
bernikah di tempat lain, mereka perlu merujuk pula kepada Jabatan Agama
tempat tersebut.
4. Setelah kelulusan didapati, sila
tetapkan tarikh akad nikah dengan jurunikah.
5. Setelah akad nikah dijalankan, sila
serahkan gambar untuk urusan memohon sijil dan kad nikah.
|