Tips Keharmonian

Bagaimana Hendak Menjaga Rumahtangga Agar Ia Hidup Subur?

Hubungan di antara suami dan isteri umpama sebatang pokok bunga yang memerlukan penjagaan yang khusus. Ia perlu dijaga, disiram dan dibajai dari semasa ke semasa supaya ianya sentiasa subur, segar dan mekar mewangi.

Berikut adalah tips-tips keharmonian rumahtangga :

1) Menghargai Perkahwinan

Bagi menghargai perkahwinan, kenangkan kembali detik-detik indah masa lalu. Kenangkan kemesraan yang ditunjukkan oleh pasangan anda di awal perkahwinan dahulu. Semarakkan memori indah itu setiap kali anda berdua menghadapi masalah dalam perhubungan. Mengingati saat-saat indah ini akan dapat menghilangkan perasaan marah terhadap pasangan anda. Berikan pujian kepada pasangan dan luahkan rasa bangga kepada pasangan anda. Bersetuju dengan idea pasangan, cadangan atau penyelesaiannya merupakan satu cara untuk mengukuhkan ikatan perkahwinan.

2) Saling Mendoakan

Sentiasa mendoakan pasangan anda. Cari waktu-waktu yang paling sesuai untuk berdoa khususnya selepas solat. Jangan hadkan waktu doa. Anda boleh berdoa samaada dengan melafazkan doa atau sekadar memohon dengan hati. Doakan kesejahteraan dan kejayaan pasangan masing-masing.

3) Berkasih Sayang

Berkasih sayang merupakan aspek penting dalam kebahagian rumahtangga. Ia tidak semestinya diucapkan dengan kata-kata, sebaliknya boleh dizahirkan dengan perbuatan. Love is a verb. Rasa kasih dan sayang boleh dilahirkan dengan sentuhan atau berpegangan tangan ketika menonton TV, sama-sama membaca akhbar di hujung minggu, tanpa perlu diucapkan dengan kata-kata.

4) Mendengar, Menerima dan Menunjukkan Minat

Setiap individu pastinya ada banyak perkara yang hendak diperkatakan atau diberitahu kepada orang lain. Begitu juga suami isteri, pastinya ada perkara-perkara yang hendak diluahkan agar dapat dikongsi bersama. Jika suami isteri anda pulang ke rumah dan meluahkan perasaan, bersedialah untuk mendengarnya dengan penuh minat.

5) Ambil Berat

Timbang rasa ialah cara yang sangat berkesan untuk melonjak rumahtangga anda ke arah yang lebih positif. Misalnya hari ini suami anda dikehendaki membentangkan kertas kerja projek. Luangkan sedikit masa untuk menelefonnya sekadar untuk bertanyakan keadaan dan mengucapkan selamat berjaya. Tunjukkan bahawa anda ambil berat. Berikan sokongan jika dia sedang bersedih atau panik.

6) Saling Memahami

Suami isteri perlu pandai menyelami hati masingmasing. Anda boleh tunjukkan bahawa anda benarbenar memahami dan merasai apa yang pasangan anda rasakan hanya dengan ekspresi wajah seperti riak sedih, bimbang dan sebagainya. Simpati juga boleh diluahkan dengan berkata sesuatu yang dapat menenangkan hati pasangan anda.

7) Ada Senda Gurau

Menyakat , bergurau dan melawak bersama boleh menyuburkan lagi ikatan perkahwinan atau hubungan suami isteri. Bersuka-suka begini boleh mendekatkan diri anda dengan suami atau isteri. Anda menjadi semakin intim. Kongsilah perasaan seronok dan gembira bersama dan beritahulah pasangan anda bahawa anda sedang menikmati saat yang indah bersamanya.